Tuesday, 3 March 2015

PANTUN RAMADHAN BAGIAN KE 1

Salam dihulur kasih diterima,
Agar ikatan terjalin mesra,
Syaaban berlalu Ramadhan menjelma,
Tingkatkan amalan hadkan selera…

Hubungan terikat sesama manusia,
Hati bertaut rasa dikongsi,
Nafsu disekat elakkan dosa,
Hati disuci pelbagai dimensi…

Bukan mudah menahan diri,
Bukan sukar mengawal situasi,
Tekadkan nurani tegarkan diri,
Ingatlah Yg Maha Melihat sentiasa di sisi…

Selera dijamah sebelum Subuh,
Azan Maghrib tanda berbuka,
Sebulan cuma Ramadhan berlabuh,
Mohon berkat selagi mata terbuka…

Siang bertahan menghitung waktu,
Terawih tak lupa di malam hari,
Mahmudahkan diri setiap waktu,
Walau Ramadhan kan pergi esok hari…

Burung jelatik sarang kedidi,
Sarang tempua sarang berjuntai;
Sungguhpun cantik sutera dipuji,
Belacu juga tahan dipakai.

Berbaju batik bujang kelana,
Duduk bermadah di tilam pandak;
Usah dipetik si bunga sena,
Warnanya indah berbau tidak.

Budak-budak mendayung perahu,
Sambil berdayung sambil bermain;
Macam mana bunga tak layu,
Embun menitis di tempat lain.

Cahaya redup menyegar padi
Ayam berkokok mengirai tuah
Jikalau hidup tidak berbudi
Umpama pokok tidak berbuah.

Seri Andalas ke kota Ambon,
Hendak mencari asam paya;
Kasih ibarat setitis embun,
Ditiup angin berderai ia.

Mengapa bising di tepi laut,
Ombak menghempas berderai-derai;
Kusangka tuan beras pulut,
Bila ditanak nasi berderai.

Nasi dingin bersayur mumbang,
Sayur dimasak dalam belanga;
Kami tak ingin melihat kumbang,
Kalau kumbang merosak bunga.

Di sana merak di sini merak,
Merak mana hendak dikepung;
Di sana hendak di sini pun hendak,
Pusing belakang terajang punggung.

Tuan ketam padi pulut,
Saya ketam padi Jawi;
Tuan berkata sedap di mulut,
Saya mendengar sakit hati.

Dari Kuala Pahang ke Kuala Lipis,
Mari dibawa angin utara;
Berhadapan saja mulutnya manis,
Paling belakang lain bicara.

No comments:

Post a Comment