Terang bulan di pintu kurung,
Cahayanya sampai di daun kayu,
Kalau Allah hendak menolong,
Air pasang kapal pun laju.
Pantun ini menjelaskan tentang segala yang berlaku di muka bumi ini adalah kehendak Allah. Jika Allah mahu jadikan sesuatu maka jadilah tapi jika tidak sebaliknya. Umpama kapal akan lebih laju pergerakan apabila air. Ini adalah bantuan dan kehendak Allah.
Hari ini hari Rabu,
Hari esok hari Khamis,
Kita sembah Tuhan Yang Satu,
Sentiasa dengan tangis.
Pantun ini membawa maksud kita mestilah menyembah Tuhan yang satu dan jangan menyembah selain dari itu, Sentiasa dengan tangis membawa erti kita mestilah sentiasa berdoa dan meminta ampun dari Allah.
Masa berada di Pulau Jawa,
Rakan-rakan ajak menjala,
Masa berkuasa janganlah lupa,
Kuasa Tuhan tiada terhingga.
Hidup di dunia ini walaupun kita berkuasa dan mampu memerintah tetapi kita harus sedar bahawa yang paling berkuasa adalah Tuhan yang esa. Oleh itu, setiap perbuatan kita mestilah ingat bahawa tiada yang lain berkuasa dari Allah.
Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang,
Menangis mayat di pintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.
Hidup di dunia ini mestilah sentiasa melakukan perbuatan yang baik dan jauhkan diri dari melakukan segala dosa. Ini kerana dosa yang dilakukan akan menerima pembalasan di akhirat. Pantun ini menjelaskan dosa yang paling besar ialah tidak sembahyang. Siksaan akan diterima jika di dunia tidak bersembahyang.
Kemumu di dalam semak,
Jatuh melayang selaranya,
Meski ilmu setinggi tegak,
Tidak sembahyang apa gunanya.
Pantun ini menjelaskan bahawa walaupun seseorang itu, mempunyai ilmu dunia yang banyak tetapi jika tidak sembahyang ilmu itu tidak berguna untuk akhirat. Oleh itu sebagai orang Islam kita mestilah menuntut ilmu untuk dunia dan akhirat. Ini penting untuk kesenangan kita kelak.
Anak ayam turun tujuh,
Mati seekor tinggal enam,
Nabi Muhammad nabi pesuruh,
Menyuruh umat membawa iman.
Pantun ini menjelaskan tentang Nabi Muhammad yang menjadi pesuruh Allah. Beliau membawa iman dan mengajar semua manusia mengikut segala apa yang disuruh oleh Allah dan juga menjelaskan perkara yang dilarang oleh Allah.
Asamnya kandis asam gelugur.
Ketiga dengan asam remunia,
Nyawa menangis di pintu kubur,
Hendak kembali ke dalam dunia.
Apabila seseorang itu melanggar suruhan Allah beliau akan menerima pembalasan di akhirat kelak. Sehubungan itu, apabila mati siksaan akan diterima sejak dalam kubur lagi. Apabila tersiksa manusia itu berasa menyesal dan seolah – olah mereka akan kembali ke dunia untuk melakukan kebaikan.
Malas hamba menyelam bubu,
Takut terpijak binatang berbisa,
Orang malas menuntut ilmu,
Di akhirat kelak badan binasa.
Seseorang yang malas menuntut ilmu akhirnya akan membinasakan diri. Hal ini terjadi kerana apabila seseorang itu tiada ilmu atau cetek pengetahuannya tentang ilmu agama, maka mereka akan terjerumus untuk melakukan sesuatu perkara yang dilarang oleh Allah. Bagi menjamin kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat maka menuntut ilmu adalah perlu.
Layar tupang sahaya balikkan,
Ditarik agung sahaya selawatkan,
Pada nabi sahaya pohonkan,
Sebarang maksud sahaya turutkan.
Pantun ini membawa maksud, setiap kejadian yang berlaku adalah ketentuan dari Allah Yang Maha Esa. Segala hajat yang dipohonkan sama ada berjaya atau tidak sebenarnya mempunyai hikmah disebalik kejadian itu. Serentetan itu, apa yang diberikan haruslah diterima dengan penuh kerelaan.
Zahir nabi di tanah Arab,
Nabi Muhammad ismu namanya,
Pekerjaan jahat jangan diharapkan,
Tidak selamat akan jadinya.
Perbuatan yang jahat atau yang buruk seseorang itu, walaupun ditutup tidak akan kekal lama. Ini kerana perbuatan yang jahat akan mudah dikesan dan diketahui umum.Oleh itu, elakkan diri dari melakukan perbuatan yang salah.
Anak ayam turun lapan,
Mati seekor tinggal tujuh,
Pinta jalan ketetapan,
Mengikut nabi pesuruh.
Sebagai orang Islam, untuk memilih jalan yang di redai Allah dan memberi kebahagiaan dunia dan akhirat. Maka jalan yang paling baik adalah mengikut Nabi Muhammad.
Bintang tujuh tinggal enam,
Jatuh sebuah ke Melaka,
Langit runtuh bumi tenggelam,
Tinggallah syurga dengan neraka.
Apabila tiba hari kiamat maka seluruh alam ini akan musnah. Langit akan runtuh dan bumi akan tenggelam. Pada masa itu semua orang akan menerima pembalasannya. Manusia yang baik akan berada di syurga dan yang berperangai tidak baik dan mempunyai banyak dosa akan berada di neraka jahanam.
Alhamdulillah tulisan cina,
Dibawa khatib Seri Alam,
Sedang di dunia begini hina,
Di akhirat wallahualam.
Pantun ini mengajar manusia agar beramal soleh setiap masa. Ini kerana hidup di dunia sudah tidak dihormati. Apatah lagi diakhirat kelak. Oleh itu, agar hidup sentiasa bahagia kita mestilah melakukan kebaikan dan meninggalkan laranganNya.
Baik berburu ke seberang,
Rusa banyak di dalam rimba,
Baik berguru kita sembahyang,
Dosa banyak di dalam dunia.
Pantun ini mengajar manusia agar taat kepada Allah dan sentiasa melakukan sembahyang seperti yang diarahkan. Ini disebabkan hidup di dunia banyak melakukan dosa. Untuk meminta ampun segala dosa yang dilakukan maka, bersembahyang adalah cara yang terbaik bagi memohon ampun kepada Allah.
Anak ayam turun sembilan,
Satu mati tinggal lapan,
Memohon rahmat pada Tuhan,
Mencari rezeki jalan kehidupan.
Untuk memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat maka sebagai orang Islam kita mestilah memohon rahmat dari Tuhan. Begitu juga mencari rezeki dalam kehidupan kita perlulah meminta rahmat dan pertolongan dari Allah.
Hari ini hari isnin,
Besok hari selasa,
Jika masuk kaum muslimin,
Mudah-mudahan terlepas seksa.
Apabila kita menganut agama Islam Insya Allah jika mengikut apa yang diperintahkan kita akan terlepas dari siksaan. Ini kerana Allahlah yang akan memberi kebahagiaan didunia dan akhirat.
Halia ini tanam-tanaman.
Di darat jua tumbuhnya,
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat jua kan sungguhnya.
Pantun ini menjelaskan tentang hidup di dunia ini hanya sementara dan kehidupan di akhirat adalah yang kekal abadi. Oleh itu, apabila melakukan sesuatu kita haruslah memikirkan kebaikan untuk di dunia dan di akhirat.
Sungai di teluk jauh di rawa,
Tempat berkelah tepi pangkalan,
Sebagai makhluk yang bertakwa,
Cintai Allah dengan amalan.
No comments:
Post a Comment