Pantun Keagamaan
Pantun lain yang tidak kurang istimewanya ialah pantun keagamaan. Pantun keagamaan dikemukakan untuk memberi nasihat, saranan, pengajaran, panduan, contoh, tauladan lain-lain lagi. Selain itu, pantun keagamaan juga menjelaskan kepada kita bahawa penyebaran agama Islam ke Tanah Melayu sudah lama. Ekoran dari itu, bait-bait puisi memasukkan unsur keagamaan dalam rangkap pantun. Contoh pantun keagamaan:
Bintang tujuh tinggal enam,
Jatuh sebuah ke Melaka,
Langit runtuh bumi tenggelam,
Tinggallah syurga dengan neraka.
Pantun ini menjelaskan tentang kejadian kiamat akan berlaku dan pada masa itu langit akan runtuh dan bumi akan tenggelam. Sehubungan itu juga manusia semua akan mati dan manusia akan menerima pembalasan masing-masing. Yang baik akan dimasukkan ke syurga dan yang jahat akan menerima pembalasan di neraka.
Bunga kenangan di atas kubur,
Sayang selasih burung angkasa,
Apa guna sombong takbur,
Akhir badan rosak binasa.
Pantun di atas mengajar atau memberi nasihat kepada manusia agar jangan bersifat sombong dan takbur. Ini kerana lama-kelamaan orang yang berperangai sedemikian tidak disukai orang dan akan menerima pembalasan atas setiap perbuatannya.
Anak ayam turun sepuluh,
Mati seekor tinggal sembilan,
Bangun pagi sembahyang subuh,
Minta ampun kepada Tuhan.
Pantun di atas menjelaskan tentang perkara yang perlu dilakukan pada waktu pagi. Sebagai orang Islam mestilah bangun pagi untuk sembahyang subuh. Seterusnya selepas sembahyang mohonlah ampun kepada tuhan atas segala dosa yang dilakukan.
Khoja Baktab terlalu mungkar,
Menteri kepada Raja Nasran,
Di dunia dicari terlalu sukar,
Serah sahaja ke hadrat Allah.
Segala benda atau perkara yang dikehendaki di dunia ini apabila sukar untuk ditemui. Perlulah meminta dan menyerah diri kepada Allah. Ini kerana segala kejadian yang berlaku adalah ketentuanNya.
Anak ayam turun sembilan,
Mati seekor tinggal lapan,
Duduk berdoa pada Tuhan,
Minta jalan ketetapan.
Sebagai orang Islam kita perlu sentiasa berdoa dan memohon jalan ketetapan agar setiap perbuatan yang dilakukan mendapat keredaan dari Tuhan Yang Maha Esa.
Halia ini tanam-tanaman,
Di barat sahaja akan tumbuhnya,
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sunggguhnya.
Pantun ini menerangkan tentang hidup di dunia ini hanyalah sementara dan tidak akan kekal lama. Tempat manusia paling kekal adalah di akhirat. Oleh itu, segala perbuatan yang dilaksanakan perlulah menjurus ke arah mendapat manfaat untuk kebaikan diri semasa di akhirat kelak.
Kulit lembu celup samak,
Mari buat tapak kasut,
Harta dunia janganlah tamak,
Kalau mati tidak diikut.
Pantun ini mengajak kita semua agar jangan leka mengejar harta dunia sahaja. Sebaliknya ilmu akhirat jangan dilupakan. Ini kerana, harta yang banyak tidak boleh dibawa ke kubur. Sebaliknya ilmu yang manfaat, anak yang soleh dan sedekah amal jariah adalah yang utama untuk memabantu kita di akhirat.
Buah remia bawa ke huma,
Untuk dimakan sambil menjerat,
Hidup di dunia tidaklah lama,
Patut amalkan bekal akhirat.
Pantun ini mengingatkan manusia agar jangan hanya mengejar dunia sebaliknya kejarlah ilmu akhirat kerana ilmu ini akan menjadi bekalan semasa di akhirat kelak. Ilmu ini akan membantu kita untuk berada di syurga atau neraka.
Terintip di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail,
Imam khatib lagikan berdoa,
Bertambah pula kita yang jahil.
Walaupun seorang Imam yang warak tidak membuat dosa, mereka berdoa agar dihapuskan dosa. Inikan manusia biasa yang banyak membuat dosa mestilah meminta ampun dari Allah.
Jangan diraba sarang lebah,
Lebah beribu berani mati,
Jangan cuba hendah bermegah,
Kerana itu perkara keji.
Sebagai manusia biasa kita janganlah hidup dalam keadaan bermegah. Ini kerana, perbuatan itu adalah tidak baik. Allah amat melarang umatnya melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang Islam.
Zaman empat satu masa,
Zaman mula pula dibilang,
Jangan mengumpat sangat berdosa,
Iman yang salih habis hilang.
Perbuatan mengumpat adalah perbuatan yang tidak baik. Hal ini harus dielakkan kerana seseorang itu akan hilang imannya apabila banyak mengumpat. Pantun ini memberi nasihatkan kepada semua agar tidak melakukan dosa dengan cara tersebut.
Pergi ke paya menangguk sepat,
Dapat juga ikan haruan,
Jangan suka duduk mengumpat,
Kerja keji dimurkai Tuhan.
Perbuatan mengumpat akan berlaku apabila seseorang itu duduk beramai-ramai bersama kawan sambil berbual kosong. Perbuatan ini sebegini amat dimurkai Allah. Ini kerana kegiatan sebegini tidak mendatangkan faedah malahan akan dimurkai Tuhan.
Tun Teja Ratna Benggala,
Pandai membelah lada sulah,
Jikalau tuan kurang percaya,
Mari bersumpah kalam Allah.
Dalam kehidupan seharian untuk meyakinkan sesuatu perkara agar dipercayai, kebanyakkan manusia berani bersumpah menggunakan kalam Allah. Ini menunjukkan agama Islam sudah wujud dan Al Quran menjadi pegangan umat Islam.
Pisang embun masak merekah,
Dituris dengan pisau raut,
Kalau abang pergi ke Mekah,
Dua kali menyeberang laut.
Mekah adalah tempat umat Islam mengerjakan ibadat haji. Perjalanan ke Mekah sangatlah jauh. Oleh kerana, pantun dicipta pada masa dahulu dan kenderaan yang digunakan adalah kapal laut. Maka baris pantun juga adalah berkaitan. Ketika itu tidak ada kapal terbang yang boleh pergi ke Mekah. Ini menunjukkan bahawa perjalanan ke Mekah adalah jauh sehingga menyeberang laut.
No comments:
Post a Comment